Wednesday, March 10, 2010

Tip Mengundang Wakil Media ke Majlis Pelancaran Produk

Ramai pengamal perhubungan awam (PR) berpendapat bahawa bukan mudah untuk memastikan kehadiran media pada majlis pelancaran produk. Apalagi jika maklumat yang ingin diwartakan bukan bahan berita yang diperlukan oleh pihak media dan khalayak sasaran mereka. Namun, masih ada cara bagi mendapatkan wakil media untuk menghadiri acara kita.

Berikut ialah perkara-perkara yang wajar dititiberatkan sebelum mengadakan majlis pelancaran produk:

Bahan yang Menarik bagi Media
Kenal pasti bahan, laporan atau penyataan yang ingin diedarkan kepada pihak media sama ada ia mempunyai nilai berita yang layak diwartakan. Atau ia hanya sekadar memberi faedah kepada syarikat kita sahaja. Jika berita kita tidak mempunyai nilai berita yang memberi faedah kepada khalayak ramai, majlis pelancaran kita akan menjadi sia-sia kerana tidak mampu menarik wakil media menghadirinya.

Tempat & Tarikh
Setelah memutuskan jika kita mempunyai sesuatu yang akan menarik perhatian media, kita perlu memutuskan tentang dua isu asas yang penting iaitu tempat dan tarikh. Pastikan tempat yang dipilih adalah mudah untuk diekses oleh kemudahan awam seperti bas, teksi ataupun LRT. Sebaik-baiknya lampirkan peta lokasi agar memudahkan wakil media. Tarikh juga menjadi isu kehadiran wakil media jika ia diadakan di luar waktu pejabat, kecuali acara kita benar-benar mempunyai nilai berita yang sangat unik dan menarik.

Undangan Media
Hantar ‘Media Invitation’ atau undangan media kepada pihak media yang relevan dengan produk atau perkhidmatan kita. Elakkan menghantar undangan kita ke meja berita jika kita hanya mengadakan upacara pembukaan cawangan kedai di kawasan pusat bandar. Kebarangkalian undangan kita tidak diendahkan adalah 99%! Bagaimanapun, jika majlis kita akan dihadiri dan dirasmikan individu berpengaruh seperti tokoh politik, ia akan menarik kehadiran wakil media dari meja berita akhbar arus perdana.

Tokoh yang Melancarkan Produk

Majlis pelancaran produk akan menjadi lebih berkesan dari segi publisiti di media massa jika membabitkan ahli politik, selebriti, orang ternama ataupun individu yang berpengaruh. Rujuk acara baru-baru ini berhubung pelancaran buku Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tindakan Susulan
Sejurus selepas menghantar undangan media kepada media yang terbabit iaitu setidaknya seminggu sebelum acara diadakan, buat tindakan susulan dengan menelefon untuk memastikan bahawa setiap orang menerima undangan tersebut. Telefon lagi sehari sebelumnya untuk mengingatkan mereka dan memastikan kehadiran mereka tentang acara kita.


(Keterangan Gambar: TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN menunjukkan buku Natrah disamping Datin Seri Fatini Yaacob pada majlis pelancaran buku berkenaan di Kuala Lumpur, semalam. -- kredit Berita Harian)



Artikel ini disusun semula daripada sumber asal eBook "Rahsia Publisiti Percuma"


Bahan Rujukan:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0310&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Nasional/20100309234818/Article/

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Tip Mengundang Wakil Media ke Majlis Pelancaran Produk"

Post a Comment